kupu2

Sunday, July 25, 2010

Aslim Taslam : Terima Islam Kamu Selamat




1. Nabi saw ketika dihantar atau diutus oleh Allah swt berdepan dengan masyarakat Jahiliyyah kuno yang keras menentang Islam . Malah ummat manusia dalam keadaan berpecah antara satu sama lain . Mereka bertelagah dan bersengketa malah berbunuh - bunuhan antara satu sama lain . Dunia waktu itu porak peranda .


2. Nabi saw menghantar surat kepada semua pemuka - pemuka kaum dan pihak berkuasa negara supaya menerima Islam untuk menyelamatkan mereka dan generasi yang akan datang . Ummat manusia disatukan dengan Islam . Aslim Taslam : Kamu terima Islam kamu selamat .


3. Saya lihat hari ini , negara kita juga terjebak dalam kancah Jahiliyyah , cuma ia moden berbanding dulu . Maksiat bertambah , mungkar bertambah , rasuah berleluasa . Semuanya gara - gara pemerintahan negara kita yang diterajui oleh UMNO dan BN tidak memerintah dan mentadbir berdasarkan Islam .


4. Tanpa Islam negara kita jadi begini . Sosialnya parah dan politiknya kejam . Ekonomi menindas dan tentunya rakyat marhain menjadi mangsa . Terbaru ialah kenaikan harga barang yang dilunakkan dengan Penyelarasan semula subsidi kononnya .


5. Ringkasnya , dunia hari ini khasnya negara kita juga perlukan surat atau risalah Rasulullah saw ini iaitu Aslim Taslam . Ianya sesuai dihantar sewaktu UMNO dan BN ghairah mengajak PAS bersatu . Saya kata : Pelan Damai untuk ummat ini ialah Islam atau dalam erti kata lain ialah Aslim Taslam . Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Pastinya ia merupakan seruan kepada semua bukan terhenti antara PAS dan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat dalam negara ini dan juga semua parti dan NGO .



Aslim Taslam : Islamlah nescaya kamu selamat . selebihnya : No Islam No Talk .

Saturday, July 10, 2010

Jauhi judi


1. Allah swt menyifatkan Judi dan sebahagian maksiat lain seperti arak sebagai najis atau kotoran yang jijik. Malah ia pula adalah "kerjaan" syaithan a'laihi laktullah. Menjadi tanggungjawab semua khasnya pemuda - pemuda Islam bangkit berjuang membebaskan diri dan masyarakat dari terus bergelumang dalam kubang najis atau tahi yang kotor lagi jijik .


2. Negara kita merupakan sebuah "Kubang Tahi" no 3 terbesar di dunia selepas Las Vegas di Amerika dan Macau di Hong Kong . Ianya sungguh memalukan . Malu pada Tuhan dan pada malu pada dunia . Sementara negara kita mempunyai lebih dari 10 orang mufti dan entah berapa ratus orang qadhi pula berapa ribu Imam di seluruh negara .


3. Sebahagiannya menjadi kuda kepang yang ditunggang oleh "Kerajaan Tahi" , menurut ke mana jua arah dipacu asal mulut terus dikekang dengan elaun dan gaji pokok yang lumayan . Rakyat tenggelam timbul dalam "kubang tahi" malah sebahagian mereka pula entah banyak mana yang telah tertelan tahi . Lebih malang , akibat terlalu lama bermukim di dalam kubang tahi ini , sebahagiannya mula berasa selesa dan lebih jijik apabila tahi pula dijadikan makanan rutin mereka .


4. Apa boleh buat , apabila mereka telah rasa selesa begitu . Namun sekurang - kurangnya ada usaha gigih daripada kita untuk menarik keluar insan yang terperangkap dalam kubang tahi yang besar ini . Benar apa yang diungkapkan oleh Sdr Suhaizan Kaiat bahawa kempen Membantah Judi yang digerakkan oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi [ GMJ ] adalah suatu yang ditunggu - tunggu oleh anak - anak dan juga isteri - isteri yang sering menjadi mangsa sang ayah dan sang suami yang terjerat dalam kubang tahi ini .

5. Setelah Lesen Judi Sukan ditarik balik atau dibatalkan [ setakat ini oleh : Majlis tertinggi UMNO bukan Kabinet ] , GMJ meneruskan pula kempen Tak Nak Judi sebagai satu pendidikan berperingkat dan berterusan untuk rakyat dan negara membersihkan diri dari tahi yang jijik . Setelah 50 tahun berkubang dalam loji tahi yang besar ini , satu gerakan pendidikan Tak Nak Judi mesti digerakkan secara serius dan berkesan .


6. Malaysia mempunyai sekurang - kurang 11 Loji [ baca kubang ] Tahi yang besar .

a] Perjudian Cyber
b] Perjudian Atas Kapal [ Malaysia 2 buah kapal kasino mewah 6 tingkat ]
c] Kasino di Pekan Danok Bukit Kayu Hitam
d] Perjudian bergerak [ menggunakan van - van besar ]
e] Perjudian di Kedai - kedai kopi
f] Sindiket Judi
g] Casino de Genting
h] Judi Nombor Ekor
i] Lumba Kuda dan Perlawanan bola sepak [ judi sukan ]
j] Mesin Permainan Video
k] Judi kanak - kanak [ tikam - tikam , mesin slot dan pertaruhan turap

Sumber : Industri Judi di Malaysia
Teras pengupayaan Melayu



7. Industri Judi satu penindasan , yang kaya raya ialah tauke judi [ baca Tauke Tahi ] sementara pemain judi [ baca Pemain Tahi ] akan terus menderita papa kedana . Syarikat judi [ baca Syarikat Tahi ] akan terus mengaut keuntungan jutaan ringgit . Lihat sahaja rekod yang ada . Biarpun rekod lama , tetapi menunjukkan keuntungan yang mereka kaut . Sekurang - kurangnya negara kita mempunyai 7 syarikat besar yang memiliki "Kubang Tahi" ini :

a] Genting Berhad [ th 99' : untung bersih : RM 1, 101, 101,000 ]
b] Resort World Berhad [ th 99' : untung bersih : RM 645, 800, 000 ]
c] Magnum Corporation Bhd [ th 99' : untung bersih : RM 519, 304, 000 ]
d] Metroplex [ th 99' : untung bersih : RM 88, 980, 000 ]
e] Leisure Managment [ th 99' : untung bersih : 78, 958, 000 ]
f ] Berjaya Sport Toto Bhd [ th 2000 : untung bersih : RM 254, 474, 000 ]
g] Tanjung Public Limited Company [ th 99' : untung bersih : RM 185, 517, 000 ]

Sumber : Industri Judi di Malaysia
Teras Pengupayaan Melayu




8. Mungkin kita tidak bermain judi [ baca main tahi ] secara langsung , tetapi sebahagian ummat Islam dalam negara kita mahu tidak mahu terperangkap dalam menerima dan mengambil manafaat dari hasil judi negara [ baca hasil tahi negara ] . Ini berlaku melalui tindakan kerajaan yang melabur dalam syarikat - syarikat tahi yang besar ini . Sebagai contoh , merujuk kepada Laman Bursa Saham Kuala Lumpur [ KLSE - RIIAM Information System ] dicatat badan - badan yang mewakili kerajaan Malaysia menanam saham [ baca saham tahi ] dalam syarikat - syarikat judi .

a] KWSP : Jumlah saham : RM 7, 894, 800 [labur di Genting Highland & Resort World Bhd]
b] Lembaga Tabung Angkatan Tentera : RM 45, 162, 668 [ Resort World Berhad ]
c] Amanah Raya Berhad : RM 8, 828, 400 [ Metroplex ]
d] Kementerian Kewangan M'sia : RM 327,000 [ Metroplex ] & RM 20,000 [Berjaya Group]


9. Rakyat dipaksa makan hasil tahi . Lebih malang , syarikat - syarikat judi ini turut dimiliki atau dikuasai oleh orang - orang Islam yang pastinya memalukan nama baik Islam dan ummatnya. Namun ini realiti negara kita : [ rekod lama yang kita miliki dan sebahagiannya kekal sehingga sekarang ]

a] Genting Berhad : Tun Hanif Omar : Bekas Ketua Polis Negara sbg Deputy Chairman
b] Magnum Corp Bhd : Tan Sri Dato' Khir Johari : Bekas Menteri : Vice Chairman
c] Resort World Bhd : Tun Hanif Omar : Bekas Ketua Polis : Deputy Chairman
d] Berjaya Group : Dato' Sulaiman Mohd Noor : Director
e] Berjaya Sport Toto : Tan Sri Dato' Jaafar Abdul : Director
f] Leisure Managment Bhd : Tan Sri Dato' Khir Johari : Bekas Menteri : Director


10. Kerajaan didesak supaya ambil langkah berkesan dan bijak untuk membebaskan negara ini dari Industri Tahi agar kelak orang tidak panggil negara kita Negara Tahi ! Seperti negara memerangi dadah yang disebut sebagai najis [ tahi ] malah diisytihar sebagai musuh no 1 negara. Jua sebagaimana kerajaan menangani rokok yang dilihat sebagai merbahaya kepada kesihatan . Kenapa judi tidak dilihat merbahaya kepada kesejahteraan negara dan rakyat . Judilah yang menyuburkan budaya gengster , Along , mafia dan akhirnya menelurkan pelbagai bentuk jenayah .

11. Sekurang - kurang kerajaan mempunyai plan berkesan untuk mengurangkan judi yang kian berleluasa di negara kita . Saya tertarik dengan gesaan yang pernah dibuat oleh Yb. Leong Ngah - Ngah Adun Triang dari DAP supaya kerajaan tidak lagi menyiarkan keputusan nombor ekor di dalam surat khabar berbahasa melayu sebagai salah satu usaha membendung pembelian nombor ekor dikalangan orang Islam .


12. Semua pihak mesti serius . Bermula dengan Kerajaan Persekutuan [ pusat ] , Kerajaan Negeri - negeri [ terutama negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat ] , Badan - badan politik , Ngo - Ngo dan orang perseorangan mestilah gigih berusaha untuk mengurangkan operasi judi yang berlesen atau tidak , justeru kesemuanya membawa kesan yang serupa .


13. Kita sasarkan 50 tahun akan datang , negara kita menjadi negara yang sifar judi . Meskipun tempoh ini panjang , namun usaha terancang dan berkesan termasuk menggunakan kuasa yang dimiliki serta kempen berterusan mestilah digerakkan . Sekurang - kurangnya negara kita beransur aman kerana kita juga memahami bahawa sukar untuk menghapuskan judi secara serentak setelah indusri ini dibina sejak 50 tahun yang lalu . Ianya telah mengakar dalam negara kita .


14. Selamatkanlah anak bangsa kita , generasi muda yang bakal memimpin negara dan seluruh rakyat yang tidak bersalah agar mereka tidak dipaksa menanggung akibat perbuatan manusia yang telah hilang kewarasan dan kewibaan kerana berada di bawah pengaruh ketagihan judi yang parah .

15. Insyaallah , sedikit masa lagi saya cadangkan agar GMJ menganjurkan Konvoi Tak Nak Judi ke Genting Highland sambil mengedar risalah mendidik rakyat supaya meninggalkan aktiviti yang tidak baik malah keji ini .


Kami mewakili seluruh rakyat prihatin menegaskan bahawa :
kami Tak Nak Judi ! walau apa jenis judi tersebut .

Ya Allah ! Selamatkan kami , negara kami , generasi kami bahkan seluruh rakyat dalam negara ini daripada terjebak dalam kancah perjudian . Ya Allah ! selamatkan kami dari kemurkaanMu dan kami berlepas diri dari perbuatan manusia - manusia fujur [ jahat ] yang telah mencetus kemurkaanMu Ya Allah !

Ya Allah ! Berikan kekuatan kepada kami untuk terus berjuang , menggerakkan kempen atau dakwah murni , mengajak manusia menghindarkan diri dari maksiat besar ini .

Ya Allah ! berilah petunjuk dan keredhaanMu kepada kami dan semua rakyat agar insaf dan sedar betapa judi dan maksiat - maksiat yang lain adalah suatu yang wajar dimansukh atau dibenteras dalam negara kita .

Ameen Ya Rabbal A'lamin .

Tontonlah Bola Sepak..tapi berhati-hati

Dicopy dari blog http://ibnu-ismail.blogspot.com/

Penulis bukanlah anti sangat kepada bola ni.... Tapi ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian serius.


Apabila ada kejuaraan berkaitan dengan boleh sepak, biasanya seluruh dunia akan berikan tumpuan. Isu-isu lain sebesar mana sekalipun akan dilupakan barang seketika. Umat Islam juga akan turun ke kedai kopi memberikan sokongan, walaupun negara mereka tak bertandingpun.


Kadang-kadang mereka lupa negara yang mereka sokong itu suatu ketika dahulu pernah menjajah mereka. Mereka lupa Portugal pernah meruntuhkan kerajaan Islam Melaka pada 1511. Mereka lupa Portugislah yang telah memasukkan agama Kristian di Tanah Melayu. Mereka lupa Belanda pernah merampas tanah umat Islam di banyak negara Islam. Mereka lupa Inggeris telah menyembelih berpuluh-puluh rakyat Malaya (1948) di Batang Kali, membunuh Tuan Guru Haji Mohd Hasan (Tok Janggut) dan menghalau Tuan Guru Hj Abd Rahman Limbong.


Tanpa menoleh kepada catatan sejarah, mereka dengan lahap bertepuk tangan dan bersorak kegembiraan bila pasukan England, Portugal atau Belanda berjaya menyumbat gol.


Mesir sebagai contoh, apabila tv siarkan perlawanan bola sepak maka jalan raya akan menjadi lengang dek kerana ramai yang berkerumun depan tv, termasuklah driver-driver teksi yang biasanya menghuru-harakan jalan raya.


Mereka lupa bola sepak kini adalah terlalu kotor (atau dikotorkan) dengan pelbagai perkara sampingan seperti perjudian, arak, pemujaan dan lain-lain.


Syarikat pengeluar minuman keras menjadi salah satu penaja utama. Maka dicetaklah beribu-ribu jersi berlogo minuman berkenaan lalu anak-anak muda kita yang beragama Islam berbangga memakainya tanpa ada rasa salah.


Begitu juga dengan jersi negara-negara yang terlibat, khususnya negara-negara Barat. Kebanyakan mereka menjunjung lambang salib Kristian di atas logo pasokan mereka. Lebih dari itu ada pasukan yang menjadikan syaitan sebagai ikon dan maskot dalam logo mereka....


Lantas anak-anak muda kita tanpa segan silu memakai baju-baju berkenaan... Fikir-fikirkanlah....



Ibtila' di Jalan Dakwah


1. Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' [ ujian\onak duri ] yang bakal merintang disepanjang jalannya. Perit , jerit dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah.

2. Cumanya , sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .

3. Lebih menarik , tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah , tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami .

4. Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz seketika dulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya .

5. Tuan Guru menceritakan pengalaman sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS . " Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini . Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta , balik jauh jauh malam . Menangis saya sambil memandu seorang diri , peritnya nak bawa Islam pada masyarakat melayu ketika itu . Sampai di rumah pula , buka saji , makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur .."

6. Kala terasa penat seharian dilapangan , saya segera mengingati cerita Tok Guru , terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sessi motivasi . Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]

إذا أصاب أحدكم مصيبة فليذكر مصابه بي فإنها من أعظم المصائب

Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah .

7. Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi .

8. Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .

9. Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya . Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari . Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu . Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah . Biar penat dan lelah segala anggota namun dikala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi , terasa diri cukup bertuah .

10. Selamat berjuang buat semua biarpun payah .

Friday, July 9, 2010

Rahsia Dosa ciri Taubat


SEPERTI diketahui, Rasulullah SAW pernah menyatakan, setiap dosa kecil dilakukan seseorang akan terhapus apabila dia melakukan solat fardu dan solat Jumaat, berzikir, beristighfar atau amalan lain yang diredai serta diberkati.

Ini sebagaimana sabda baginda: “Akan gugur setiap dosa kecil yang dilakukan umat Islam seperti daun berguguran apabila dia melakukan solat fardu dan amalan lain yang diredai Allah SWT.”

Secara dasarnya, sebagai dipersetujui ulama, ‘iman’ dalam diri setiap individu itu boleh menaik atau menurun berdasarkan apa yang pernah dilakukannya.

Dosa kecil yang kita anggap boleh dihapus dengan amalan berkenaan sebenarnya mampu ‘bercambah’ dengan mudah tanpa kawalan melebihi amalan baik yang pernah dilakukan.

Jadi, persoalannya, bilakah pula setiap dosa kecil itu bercambah melebihi amalan yang kita lakukan?

Hal ini dapat dilihat paling mudah apabila seseorang memperlihat serta mendedahkan perbuatan buruknya secara tidak disedari dengan cara bercerita atau memberi ulasan mengenai perkara tertentu.

Paling mudah, menerusi laman sosial paling popular masa kini iaitu Facebook dengan meletak atau memuat-turun pelbagai bentuk filem yang diminati, drama televisyen yang disukai, muzik yang dikagumi atau sebagainya.

Pernahkah anda selidiki penulisan atau aplikasi berbentuk muzik atau paparan visual itu mempunyai unsur negatif, yakni yang salah dan bertentangan dengan norma agama Islam.

Mungkin ramai tertanya, namun perlu anda tahu jika paparan video, muzik atau pendapat serta komen yang dikongsi bersama rakan itu mempunyai unsur ‘mungkar’ seperti pendedahan aurat serta penghinaan, ia sebenarnya sama seperti tindakan kita mempromosikannya.

Dosa kecil ini mampu berganda apabila ada individu lain membacanya, berkongsi minat mengenainya, malah dengan memberi komen negatif mengenai sesuatu perkara yang jelas seperti menghina orang lain.

Antara dosa kecil yang paling tidak kita sedari adalah apabila ada antara kita mendedahkan dosanya menerusi gambar peribadi sebagai contoh gambar yang mendedahkan aurat, ketika menghadiri parti maksiat, berpelukan dengan bukan muhrim atau gambar yang bersentuhan dengan bukan mahram.

Pertama kali anda melakukan perkara itu, satu calitan dosa terpalit untuk diri anda dan satu lagi calitan dosa apabila anda memuat turun dan berkongsi gambar yang mendedahkan keburukan anda itu dengan orang lain dan seterusnya.

Dosa kecil ini bercambah apabila ada individu lain melihatnya yakni individu yang berkongsi itu tergolong dalam kategori ‘Penyebar Dosa’. Mengapa pula menjadi sedemikian?

Hal ini jelas dalam ingatan Rasulullah SAW yang menyatakan: “Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan kepada orang lain seraya berkata, Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini… maka terhapus tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (Rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sembunyikan dan taubat

Justeru, jadikan dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai muzik berunsur hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan secara tersembunyi itu hanya diketahui oleh anda dan Allah SWT saja supaya beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut.

Ini kerana apabila seseorang berkongsi perbuatan dosanya, ia sama seperti dia berbangga hal berkenaan, sekali gus boleh menimbulkan perasaan riak.

Justeru, jalan terbaik atas apa juga bentuk dosa yang pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN.

Ia bukan hipokrit, tetapi dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya dan usahakan bertaubat.

Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini si pelaku dosa hanya menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.

Ini jelas sebagaimana dinyatakan dalam hadis Al-Hakim dalam sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang dilarang oleh Allah, sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla.”

Allah SWT itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan.

Dalam sebuah lagi hadis sahih, disebutkan Rasulullah SAW bersabda: “(Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata, Adakah kamu tahu dosa kamu ini. Adakah kamu sedar dosa ini. Lalu jawab lelaki itu, Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), maka Allah berkata, Aku menutupinya di dunia dulu (daripada pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya.”

Jelas hadis di atas menyatakan dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni.

Bagi mereka yang lebih dulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah SWT serta pengampunannya.

Kesimpulan

Segera padam paparan minat dan pembabitan terhadap apa juga aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredaan Allah.

Walau sebanyak, sedalam manapun minat serta sejauh manapun pembabitan anda, sembunyikan ia… bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi supaya anda tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah Facebook anda, blog, website, forum dan forum sosial harian yang anda lawati supaya tidak tersalah, sekali gus menggandakan lagi dosa anda.

Monday, December 14, 2009

Ghibah


Ghibah(Memfitnah/Mengumpat)

Definisi Ghibah:

Menyebutkan sifat seseorang dengan sebutan yang tidak dia sukai sekiranya dia mendengarnya (sama ada tentang keluarganya, nasabnya, hartanya, binatang ternakannya dan lain-lain)

-Memberi perumpamaan, memperli turut termasuk dalam hal tersebut kerana ia dikira seperti hendak memberi penegasan atau memudahkan perkara itu mudah untuk difahami

-Orang yang mendengarnya turut dikategorikan sebagai orang yang bersekutu dengan yang berbuat ghibah kerana dia menyukainya dan mengalakkan untuk terus mendengar.

Dalil pembuktian

  • Allah berfirman di dalam Al-Quran

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari
prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu
adalah dosa,dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan
orang lain,dan janganlah ada di antara kamu menggunjing
sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu
memakan daging saudaranya yang sudah mati?
Maka tentulah kamu merasa jijik.
Dan bertakwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. “
(Al-Hujurat:12)

  • Hadis 35 dalam hadis 40 Imam Nawawi

“...Jangan mendengki, jangan saling bertengkar, jangan saling berpaling, jangan sebahagian kamu memfitnah sebahagian yang lain, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang soleh”

  • Lebih berat dari zina

Sabda Rasullah “Janganlah kamu melakukan ghibah kerana ghibah itu lebih berat daripada zina sebab apabila orang berzina lalu bertaubat Allah terima taubatnnya sedangkan pelaku ghibah itu tidak diampuni dosanya hingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya”

  • Di akhirat mencakar mukanya sendiri

Anas r.a meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasullah bersabda ” Di malam Isra’ aku melalui satu kaum yang mencakar wajahnya dengan kuku mereka…

Maka Rasulullah bertanya pada Jibrail, “Siapakah orang ini ?”

Jibrail menjawab, “Mereka ini adalah orang-orang yang memfitnah orang-orang lainnya dan memburukkan kehormatan mereka”

  • Hadis 696 dalam Riyadus Salihin oleh Imam Nawawi

Dari Jarir bin Abdullah r.a, Rasullah bersabda, “Janganlah engkau menjadi orang kafir sepeninggalanku nanti, janganlah sebahagian daripada engkau memukul leher sebahagian yang lain”

Maksudnya di sini janganlah sesuatu yang dapat menyebabkan terjadinya perceraian, permusuhan dan pertempuran antara sesama kaum muslimin.

Ghibah yang dibolehkan

  • Mengeluhkan atau membenci kezaliman seperti seorang hakim yang zalim atau hakim itu menerima rasuah
  • Minta tolong untuk mengubah kemungkaran
  • Meminta fatwa
  • Mengingatkan kaum muslimin tentang kemungkaran orang kafir
  • Kefasikan dan kemungkaran secara terang-terangan


MENGUMPAT bermaksud bercerita serta menyatakan keburukan atau kekurangan individu kepada orang lain, sama ada dengan nama pelakunya atau individu terbabit memang dikenali orang yang mendengarnya. Mengumpat sememangnya boleh berlaku sama ada ia disedari orang yang melakukannya atau sebaliknya.

Rasulullah menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yang bermaksud,

“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya”

(Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan buruk dan hinanya sikap mengumpat ini, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama sendiri bagi seseorang yang melakukannya. Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu lazim berlaku dalam kehidupan seharian.

Hakikat inilah yang perlu direnungkan kita semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain selalunya akan mendedahkan keaiban diri seseorang individu. Perlu diingat seseorang yang membuka keaiban rakan atau seseorang lain akan didedahkan segala keaiban mereka pula di hari akhirat kelak.

Sabda Rasulullah: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua kebaikan itu (pahala) datangnya dari orang melakukan umpatan kepada engkau tanpa engkau ketahui”.

Jika pahala orang mengumpat tidak ada lagi diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang yang mengumpat adalah golongan manusia muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:

  • Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
  • Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
  • Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang. Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
  • Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
  • Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
  • Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
  • Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
  • Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
  • Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat, antaranya iaitu, harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar; insaf dan membetulkan kesalahan sendiri daripada menyalahkan orang; hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.

    Perlu diingatkan ada beberapa kelakuan yang tidak dikatakan sebagai umpatan bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan.

    Maka isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk dipertimbangkan oleh hakim. Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang terhadap individu yang zalim. Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV, filem dan cerpen dan novel juga bukanlah bersifat umpatan kerana ia terlalu umum demi membentuk naratif sebuah cerita dan kisah hidup sebagai teladan khalayak umum.
  • sumber:
    Riyadus Salihin- Imam Nawawi
    Hadis 40- Imam Nawawi
    Ihya Ulumuddiin- Imam Al Ghazali

    Friday, December 11, 2009

    Kamulah Yang tertinggi

    Pembentukan fikrah dan pemikiran Islamiyyah yang berjaya terpasak atas empat kriteria utama iaitu yakin penuh dengan ajaran Islam selari seiring dengan keikhlasan dalam usaha menegakkannya, punyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.

    Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

    Inilah ciri-ciri yang patut menjadi darah daging dalam diri setiap pemuda-pemudi Islam.

    Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

    Itulah sebabnya mengapa pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji Islam.

    إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

    Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

    Kita bukan sekadar pelajar universiti yang menghadapi banyaknya subjek dan peperiksaan yang perlu diduduki tetapi kita jugalah adalah pemuda-pemuda Islam yang akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kita itu akan menjadi bertambah berat.

    Oleh itu sepatutnya kita akan lebih berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kita jualah yang menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan masyarakat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
    Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan menamakan kita angkatanNya, dengan mengurniakan iman serta mendidik kita atas dasar agamanya.

    (Ali-Imran:110):

    كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
    وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

    Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

    Tentukanlah matlamat dan haluan kita. Persiapkan penjuru dan posisi masing-masing.Perbaiki kelemahan dan berusahalah untuk belajar memberi manfaat kepada orang lain. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukmin.

    Kamulah yang tertinggi, jika kamu beriman.

    (olahan daripada petikan catatan al-Syaheed Hassan Al-Banna)