kupu2

Friday, December 11, 2009

Kamulah Yang tertinggi

Pembentukan fikrah dan pemikiran Islamiyyah yang berjaya terpasak atas empat kriteria utama iaitu yakin penuh dengan ajaran Islam selari seiring dengan keikhlasan dalam usaha menegakkannya, punyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya.

Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Inilah ciri-ciri yang patut menjadi darah daging dalam diri setiap pemuda-pemudi Islam.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya mengapa pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji Islam.

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

Kita bukan sekadar pelajar universiti yang menghadapi banyaknya subjek dan peperiksaan yang perlu diduduki tetapi kita jugalah adalah pemuda-pemuda Islam yang akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kita itu akan menjadi bertambah berat.

Oleh itu sepatutnya kita akan lebih berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kita jualah yang menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan masyarakat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan menamakan kita angkatanNya, dengan mengurniakan iman serta mendidik kita atas dasar agamanya.

(Ali-Imran:110):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Tentukanlah matlamat dan haluan kita. Persiapkan penjuru dan posisi masing-masing.Perbaiki kelemahan dan berusahalah untuk belajar memberi manfaat kepada orang lain. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukmin.

Kamulah yang tertinggi, jika kamu beriman.

(olahan daripada petikan catatan al-Syaheed Hassan Al-Banna)

No comments:

Post a Comment