Friday, July 9, 2010

Rahsia Dosa ciri Taubat


SEPERTI diketahui, Rasulullah SAW pernah menyatakan, setiap dosa kecil dilakukan seseorang akan terhapus apabila dia melakukan solat fardu dan solat Jumaat, berzikir, beristighfar atau amalan lain yang diredai serta diberkati.

Ini sebagaimana sabda baginda: “Akan gugur setiap dosa kecil yang dilakukan umat Islam seperti daun berguguran apabila dia melakukan solat fardu dan amalan lain yang diredai Allah SWT.”

Secara dasarnya, sebagai dipersetujui ulama, ‘iman’ dalam diri setiap individu itu boleh menaik atau menurun berdasarkan apa yang pernah dilakukannya.

Dosa kecil yang kita anggap boleh dihapus dengan amalan berkenaan sebenarnya mampu ‘bercambah’ dengan mudah tanpa kawalan melebihi amalan baik yang pernah dilakukan.

Jadi, persoalannya, bilakah pula setiap dosa kecil itu bercambah melebihi amalan yang kita lakukan?

Hal ini dapat dilihat paling mudah apabila seseorang memperlihat serta mendedahkan perbuatan buruknya secara tidak disedari dengan cara bercerita atau memberi ulasan mengenai perkara tertentu.

Paling mudah, menerusi laman sosial paling popular masa kini iaitu Facebook dengan meletak atau memuat-turun pelbagai bentuk filem yang diminati, drama televisyen yang disukai, muzik yang dikagumi atau sebagainya.

Pernahkah anda selidiki penulisan atau aplikasi berbentuk muzik atau paparan visual itu mempunyai unsur negatif, yakni yang salah dan bertentangan dengan norma agama Islam.

Mungkin ramai tertanya, namun perlu anda tahu jika paparan video, muzik atau pendapat serta komen yang dikongsi bersama rakan itu mempunyai unsur ‘mungkar’ seperti pendedahan aurat serta penghinaan, ia sebenarnya sama seperti tindakan kita mempromosikannya.

Dosa kecil ini mampu berganda apabila ada individu lain membacanya, berkongsi minat mengenainya, malah dengan memberi komen negatif mengenai sesuatu perkara yang jelas seperti menghina orang lain.

Antara dosa kecil yang paling tidak kita sedari adalah apabila ada antara kita mendedahkan dosanya menerusi gambar peribadi sebagai contoh gambar yang mendedahkan aurat, ketika menghadiri parti maksiat, berpelukan dengan bukan muhrim atau gambar yang bersentuhan dengan bukan mahram.

Pertama kali anda melakukan perkara itu, satu calitan dosa terpalit untuk diri anda dan satu lagi calitan dosa apabila anda memuat turun dan berkongsi gambar yang mendedahkan keburukan anda itu dengan orang lain dan seterusnya.

Dosa kecil ini bercambah apabila ada individu lain melihatnya yakni individu yang berkongsi itu tergolong dalam kategori ‘Penyebar Dosa’. Mengapa pula menjadi sedemikian?

Hal ini jelas dalam ingatan Rasulullah SAW yang menyatakan: “Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan kepada orang lain seraya berkata, Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini… maka terhapus tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (Rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sembunyikan dan taubat

Justeru, jadikan dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai muzik berunsur hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan secara tersembunyi itu hanya diketahui oleh anda dan Allah SWT saja supaya beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut.

Ini kerana apabila seseorang berkongsi perbuatan dosanya, ia sama seperti dia berbangga hal berkenaan, sekali gus boleh menimbulkan perasaan riak.

Justeru, jalan terbaik atas apa juga bentuk dosa yang pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN.

Ia bukan hipokrit, tetapi dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya dan usahakan bertaubat.

Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini si pelaku dosa hanya menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik.

Ini jelas sebagaimana dinyatakan dalam hadis Al-Hakim dalam sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang dilarang oleh Allah, sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla.”

Allah SWT itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan.

Dalam sebuah lagi hadis sahih, disebutkan Rasulullah SAW bersabda: “(Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata, Adakah kamu tahu dosa kamu ini. Adakah kamu sedar dosa ini. Lalu jawab lelaki itu, Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), maka Allah berkata, Aku menutupinya di dunia dulu (daripada pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya.”

Jelas hadis di atas menyatakan dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni.

Bagi mereka yang lebih dulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebagainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah SWT serta pengampunannya.

Kesimpulan

Segera padam paparan minat dan pembabitan terhadap apa juga aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredaan Allah.

Walau sebanyak, sedalam manapun minat serta sejauh manapun pembabitan anda, sembunyikan ia… bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi supaya anda tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah Facebook anda, blog, website, forum dan forum sosial harian yang anda lawati supaya tidak tersalah, sekali gus menggandakan lagi dosa anda.

No comments:

Post a Comment